Integrity + Humble + Strategy + Ambitious + Neat + Independent
Six Basic Formulas To
EXCELLENCE

MAKLUMAN

PELUANG KERJAYA

Tajuk : Kerjaya-Perunding Kewangan Islam

Tarikh :
12/06/2010 (Sabtu)
Tempat:
Pejabat Public Mutual (Butterworth)
Yuran : RM 0.00

Tempat terhad, untuk tempahan sila email maklumat peribadi anda (Nama, Umur & No Hp) ke:
ihsani.utc@gmail.com / sms ke: 019-9222 799


Kelayakan Minima : SPM
**Lepasan ijazah/diploma digalakkan hadir.


Sunday, December 27, 2009

Personaliti Seorang Perunding Unit Amanah

Dari blog rakan


Beberapa bekas plastik bertanda disusun rapi atas meja personaliti XY - Ikon Lelaki ini. Belum sempat bertanya, Nazril Idrus menjelaskan setiap bekas melambangkan tabung dan agihan wang yang sepatutnya diamalkan siapa saja. Dekati jejaka ini...

ORANGNYA cukup peramah biarpun pertama kali bersua. Personalitinya cukup sesuai dengan kerja sampingan sebagai pelakon, pengacara program televisyen malah pernah muncul dalam iklan komersial. Namun semua itu dilakukan demi hobi. Bagi Nazril Idrus, cinta beliau yang sebenarnya ialah pada sektor pengurusan kewangan dan strategi pelaburan jangka panjang.

Maka tidak hairanlah Nazril mengambil langkah berani menubuhkan firma perunding kewangan, LVG Consultants. Beliau yang mengasaskan firma ini bersama seorang rakan dan menduduki kerusi Presiden, bersemangat setiap kali bercerita soal wang. Lucunya, Nazril bercerita, ketika mula bekerja, beliau bukanlah seorang pengurus kewangan yang baik. “Bekerja dalam bidang kewangan atau perakaunan tidak bermakna seseorang itu bijak menguruskan kewangan sendiri.

“Hakikatnya, mereka seperti orang lain yang kadang-kadang kurang berhati-hati dalam percaturan perbelanjaan kewangan,” katanya yang pernah berkhidmat di firma perakaunan berprestij serta syarikat pengeluar petroleum.

Berpengalaman bekerja di Melbourne, Australia dan London, United Kingdom (UK), Nazril beruntung memperoleh pendapatan mewah kerana dibayar mengikut mata wang kedua-dua negara itu.

“Namun, saya terkilan apabila memikirkan bagaimana pendapatan saya ketika itu dibelanjakan. Hampir semua dihabiskan begitu saja tanpa sedikitpun dilabur.

“Sepatutnya dengan gaji yang saya terima, saya boleh membeli aset untuk pelaburan jangka panjang. Namun, tiada apa yang saya buat hinggalah kembali ke tanah air,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara Perdana, Petaling Jaya, minggu lalu.

Apabila pulang ke Malaysia, Nazril terjebak pula dengan skim pelaburan yang akhirnya mengundang musibah. Wang simpanannya sebanyak RM12,000 terbuang begitu saja. Kata Nazril, kejadian itu memberi pengajaran besar buat dirinya.

“Ketika itu, saya hanya fikir meraih keuntungan segera tapi tidak menyemak sama ada pelaburan itu sah di sisi undang-undang atau sebaliknya,” katanya.

Nazril berkata, segala-galanya berubah apabila beliau menghadiri seminar pembangunan diri bagi mengenal pasti minat dan potensi individu.

Pada ketika itu, minat Nazril terhadap kerjaya makin berkurangan. Beliau tidak lagi seronok mengendalikan akaun atau penyata kewangan orang lain. Dari pengalaman yang ditimbanya pada seminar itu, Nazri sedar beliau lebih suka melakukan kerja yang membabitkan interaksi dengan orang ramai. Beliau terfikir bidang perniagaan yang diminatinya sejak dulu, mungkin menjadi laluan terbaik mencapai impian itu.

“Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan pengurus perkahwinan, saya beralih kepada bidang yang lebih menepati minat saya iaitu unit amanah.

“Minat timbul selepas melihat hasil agak lumayan daripada sejumlah wang yang dilaburkan ke dalam unit amanah tidak lama dulu.

“Bagi saya, kaedah pelaburan ini baik untuk jangka panjang dan selamat. Lalu saya bersama rakan kongsi sepakat menubuhkan firma perunding kewangan yang memberi panduan pengurusan kewangan terbaik,” kata suami kepada pelakon dan pengacara, Sazzy Falak ini. LVG Consultants menawarkan khidmat rundingan kewangan yang antara lain mengesyorkan pelanggan membina ‘kubu kewangan’ untuk keluarga.

Kubu kewangan yang dimaksudkan adalah pelaburan jangka panjang di mana hasilnya dapat dinikmati keluarga turun temurun. Sasaran LVG adalah memastikan setiap keluarga di Malaysia mempunyai kubu kewangan masing-masing.

Ikuti cerita dan obsesi Nazril terhadap bidang pengurusan kewangan bersama XY - Ikon Lelaki...

Ceritakan serba sedikit perjalanan anda sebelum berada di tahap sekarang?


Daripada perunding unit amanah, saya dilantik menjadi ketua kumpulan. Kemudian, ada rakan mengajak saya mendapatkan lesen jurulatih perunding saham amanah. Melalui program latihan, saya memperoleh lesen itu sembilan bulan kemudian.

Selepas itu, kami terfikir kami harus mengambil peluang memulakan kerjaya ini sendiri. Lalu kami nekad menubuhkan firma rundingan LVG. Saya menggunakan khidmat jurulatih perniagaan untuk mendapatkan kaedah menjadikan bidang ini sebagai perniagaan.

Pelanggan yang menggunakan khidmat kami adalah mereka yang hendak mendapatkan nasihat mengenai pelaburan dan kubu kewangan. Ini termasuk mereka yang hendak mendapatkan latihan menjadi perunding pelaburan.


Apakah kelebihan bidang ini sehingga menarik minat anda untuk menyertainya?

Saya sukakannya kerana ia membolehkan kita menggunakan kreativiti sendiri untuk merancang visi hidup kita atau mendapatkan khidmat orang lain dalam membuat perancangan kewangan untuk kita.


Bagaimana jika jalan pelaburan yang anda syorkan kepada pelanggan tidak memberi hasil seperti yang diharapkan atau mungkin masalah lain akan timbul?

Jika perkara ini timbul, lazimnya kita akan semak kembali strategi pelaburan dan tentukan perancangan seterusnya. Dalam apa perkara pun, ada naik dan turunnya. Bagi menentukan jalan mana yang hendak dipilih, kita harus pastikan adakah jalan yang kita hendak ambil itu ada ‘cahaya’ di hujungnya. Jika diyakini ada ‘cahaya’, memang berbaloi jika kita sabar menempuhinya. Lagipun, dalam pelaburan untuk kubu kewangan ini, pulangannya bukanlah dalam tempoh setahun atau dua tahun. Jangka masanya panjang, namun pulangannya lumayan.


Adakah latar belakang dalam bidang kewangan diperlukan untuk menjadi perunding kewangan?
Tidak semestinya. Apa yang lebih penting adalah keinginan untuk belajar, boleh dilatih dan sanggup dibimbing. Sebelum membimbing orang, anda harus pastikan yang diri anda boleh dibimbing terlebih dulu.


Selama berkecimpung dalam bidang ini, bagaimana anda melihat keterbukaan golongan lelaki dan wanita terhadap pelaburan?

Boleh dikatakan tidak banyak beza antara lelaki dan wanita. Tapi, setakat ini, golongan wanita lebih mudah diajak menyertai bidang ini berbanding lelaki. Mungkin ini kerana kebanyakan lelaki lebih cenderung membuat pelaburan lebih agresif yang kononnya memberi pulangan besar dan cepat. Sebenarnya, ia bergantung kepada individu juga.

Selain ilmu pelaburan, apa kemahiran lain yang anda pelajari untuk bidang ini?
Disebabkan kerjaya ini memerlukan saya berinteraksi dengan ramai orang, saya banyak membuat rujukan mengenai sikap manusia. Antara yang saya temui ialah rata-rata mereka yang ingin dilatih menjadi perunding pelaburan mempunyai empat jenis sikap iaitu suka menganalisis, mengawal, mempromosi dan relaks.

Individu yang mudah dibimbing adalah mereka yang mempunyai sikap mempromosi dan mengawal manakala yang agak sukar dibimbing adalah mereka yang mempunyai sikap mengawal dan menganalisis. Selain itu, saya lebih suka membimbing orang yang optimis kerana mereka akan sentiasa menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya

Dari pemerhatian anda, pada peringkat usia berapakah lazimnya seseorang lelaki mula mengambil berat mengenai kewangan dan pelaburan?

Kebanyakannya pada usia pertengahan 30-an atau selepas beberapa tahun bekerja dan kedudukan kewangan stabil. Biasanya, pada peringkat permulaan mereka akan melakukan pelaburan yang salah kerana keinginan untuk cepat kaya dan kurang maklumat mengenai pelaburan yang baik. Bila sudah belajar daripada kesalahan berkenaan, mereka akan ambil pengajaran dan lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan.

Justeru, pada usia apa seseorang lelaki digalak memulakan pelaburan jangka panjang?
Sebaik mula bekerja. Tidak semestinya dimulakan dengan jumlah pelaburan yang tinggi kerana ia boleh disesuaikan mengikut kemampuan seseorang. Ketika ini, kita beruntung kerana maklumat mengenai pelaburan mudah didapati berbanding dulu.

Bagaimana langkah pelaburan jangka panjang yang seharusnya dilakukan seseorang?

Pertama sekali, lihat jangka masanya. Kedua, anda harus pastikan ada peruntukan untuk pelaburan setiap bulan. Kemudian, semak pelaburan anda itu setiap enam atau 12 bulan dan akhir sekali lakukan tindakan yang dapat meningkatkan nilai pelaburan.

Contohnya, memindahkan akaun pelaburan dari akaun pasif kepada aktif. LVG Consultant di bawah pengurusan anda sudah menerima dua anugerah berprestij iaitu ActionCoach Business of The Year Award Malaysia 2008 dan ActionCoach Best Team Award Malaysia 2007.

Apa perasaan anda selepas menerima anugerah ini?

Saya sudah berusaha dengan begitu gigih dan membuat pelaburan yang banyak untuk mendapatkan latihan. Kini usaha itu berhasil. Apa yang lebih penting, ia menunjukkan bahawa sistem, ideologi dan perniagaan yang dijalankan LVG diiktiraf.

Ceritakan sedikit mengenai rutin harian anda.
Selalunya, setiap pagi saya akan mulakan hari saya dengan membaca buku berfaedah atau buku yang banyak memberi idea kepada kita untuk menjalani kehidupan.

Kemudian, saya akan semak atur cara harian dan lakukan apa yang dirancang.

Jika ada masa lapang, saya akan luangkan masa bersantai di kedai kopi sambil membaca buku kegemaran, menonton wayang atau beriadah, sama ada berjoging atau bermain bola sepak.

Apa pula harapan anda sempena 2009?
Saya ingin memperkenalkan program perancangan kewangan ini kepada lebih orang ramai dengan lebih giat. Selain itu, saya mengidamkan program televisyen sendiri yang berkonsepkan nasihat kewangan seperti rancangan popular yang dikendalikan Suzy Orman.



Harap-harap semua ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh yang terdekat.
  • rss
  • Del.icio.us
  • Digg
  • Twitter
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Share this on Technorati
  • Post this to Myspace
  • Share this on Blinklist
  • Submit this to DesignFloat

No comments:

Post a Comment